Photobucket

Saturday, October 23, 2010

~ indahnya pesanan ibu ~


BENCI VS SAYANG,HANYA KERANA ALLAH
~ Mana Satu Pilihan Hati ~

Saya bertanya kepada emak, 
“mana satu pilihan hati, orang yang sayangkan kita atau yang kita sayang? ”

Mak jawab, “dua-dua bukan..”

Saya tercengang..Mak mengukir senyuman.

“Pilihan hati mak adalah yang sayangkan kita kerana Allah..” 
Saya menarik nafas dalam-dalam.

“Macam mana nak tau orang tu sayang kita kerana apa?” Mak diam sekejap berfikir dan kemudian tersenyum.

Rasanya mak dapat menduga apa yang sedang bermain dalam hati anak perempuannya. Mana mungkin saya mampu menyorokkan rahsia hati dari mak sedangkan sekilas saya pun mak mampu membacanya. “Yang paling tahu hanya Allah..” mak merenung dalam-dalam wajah anaknya. “Kerana hanya Allah mampu membaca hati hambaNya.. ” mak menyusun ayat-ayatnya. “Dan keikhlasan kerana Allah itu akan terserlah keberkatannya tanpa perlu sengaja ditonjokan oleh seseorang tu..”

Saya memintas, “Tak faham..”


Mak menyambung
“Cinta di dalam jalan Allah.. 

Bertemu kerana sama-sama mencari redha Allah..” Mak menyambung lagi, “begini, setiap insan yang bergelar manusia telah Allah ciptakan berpasang-pasangan. Rasa ingin dikasihi antara seorang suami dan isteri suatu fitrah. Automatik boleh ada daya tarikan magnet tu..” Wajah saya merah, sedikit cemas jika mak dapat mengesan gelora jiwa muda ini.. Mak menyambung “Setiap manusia telah Allah tetapkan rezeki,jodoh dan maut sejak azali lagi..Persoalannya ialah.. Siapakah jodohnya itu?” mak berhenti seketika. Saya tunduk malu, cuba menyorokkan rasa panas di pipi. Emak buat-buat tidak nampak.


Secret Admire

“Kakak, mak dulu masa besar ada secret admire.. Rajin betul dia hantar surat..Masa tu mak dah tahu yang bercinta sebelum kahwin ni tak halal..Dan masa tu mak tekad tak mahu layan sebab mak takut arwah tokwan kena seksa dalam kubur.. Mak sedar mak anak yatim, anak orang miskin, adik beradik ramai.. Mak nak belajar sungguh-sungguh.. Lama budak tu tunggu mak.. Akhirnya mak bagi kata putus, mak hanya akan membalas cinta dia jika dia sah suami mak.. Dan dia memang bukan jodoh mak, maka tak pernah dia menerima balasan cinta tu.” Mak merenung jauh. Saya merapatkan badan kepada emak, semakin berminat dengan kisah lama mak..

“Mak memang tak ada perasaan lansung pada dia ke?” saya menyoal sambil memandang tajam wajah mak. Emak ketawa kecil. “Walaupun mungkin ada, mak tak pernah bagi peluang pada diri mak untuk mengisytiharkan perasaan tu.. Mak takut pada Allah. Mak bukan seperti rakan sebaya mak yang lain.. Mak, seperti kakak..” mak memandang saya sambil memegang pipi dan dagu saya. Kemudian tangannya mengusap rambut di kepala saya.

“Mak anak ustaz ustazah.. Tapi zaman tu ustaz ustazah nya masih berkebaya pendek dan ketat. Tok wan mak kiyai. Mungkin berkat doa keturunan sebelum ni yang soleh-soleh, hati mak tertarik sangat pada agama walaupun tiada sesiapa yang mendorong.. Bila di sekolah, mak pelajar pertama yang bertudung.. Mak membawa imej agama. Kawan-kawan dan cikgu-cikgu  panggil mak dengan gelaran mak Aji.. Sebab zaman tu hujung 70an dan awal 80an tak ramai lagi yang bertudung betul menutup auratnya..Zaman tudung nipis dan nampak jambul. Kemudian kawan-kawan mak sikit-sikit ikut bertudung. Akhirnya kami semua dipanggil di perhimpunan. Kami dimarah guru besar kerana bertudung sedangkan ustazah kami bertudung tapi nampak jambulnya..” emak melemparkan pandangan ke lantai. “Selepas tu ustazah jumpa kami secara persendirian. Ustazah kata dia tak mampu nak pakai seperti kami. Dia suruh kami teruskan..” sambung emak. Ada getar di hujung suara emak. Kisah silam perjuangan emak di sekolah dahulu sikit-sikit emak ceritakan pada saya. Itulah juga salah satu inspirasi kepada saya untuk bangkit semula setiap kali terjatuh ketika berjuang di sekolah dulu.

“Mungkin kerana personaliti mak, mak menjadi tempat rujukan kawan-kawan mak.. Jadi, bila mak nak ambil sesuatu tindakan, mak kena fikir betul-betul sama ada tindakan mak tu akan menyebabkan Allah marah atau tidak. Mak ayah berdosa tak? Dan maruah pembawa agama terjejas tak? Kalau mak membalas cinta si lelaki tadi, bermakna mak sedang menconteng arang di muka-muka pembawa-pembawa agama. Orang akan pandang serong terhadap orang yang bertudung sedangkan kesilapan tu hanya seorang dua yang buat. Besar fitnah akan timbul apabila orang-orang agama mengambil ringan batas syariat duhai anak..” mak menelan air liurnya. Saya diam. Fikiran saya sedang cuba memahami maksud mak saya.


Adakah ia suatu diskriminasi?


“Kakak.. Jatuh cinta perkara biasa. Apabila kita jatuh cinta pada seseorang, itu tandanya ada sesuatu keistimewaan pada seseorang tu. Apatah lagi orang yang kita jatuh cinta tu di atas jalan dakwah ni..Tetapi kita kena ingat.. Kita tak akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling cinta mencintai.. Bercouple mungkin.. Tetapi bukan berkahwin.. Kerana kita berkahwin dengan jodoh kita, jodoh yang Allah dah tetapkan sejak azali.. Dan tak mustahil orang yang kita paling benci itulah jodoh kita yang kita akan dikahwinkan dengannya..” Tiba-tiba air mata saya mengalir. Argh! Ego saya kalah bila mendengar hujah emak. Emak meneruskan, “Allah itu Maha Adil.. Dia tak pernah menzalimi hambaNya..Sesungguhnya, yang selalu menzalimi hambaNya ialah diri hamba tu sendiri.. Sebabnyam hamba tu degil. Dia mahukan yang bukan haknya, yang bukan milik dia. Mencintai seseorang tidak semestinya memilikinya.

Dalam Islam, kita dah diajar untuk saling mencintai antara satu sama lain seperti diri sendiri.. Jadi apabila kita mencintai saudara perempuan, kita bebas peluk dia. Tetapi bila dengan lelaki, kita ada batas-batasnya. Orang kafir kata batas-batas ini suatu diskriminasi, tetapi sebenarnya batas-batas syariat itulah yang memelihara kehormatan seorang lelaki dan seorang perempuan. Cuba kakak renungkan, kita mengenali seorang insan yang amat baik, sempurna agamanya dan rajin. Lalu kita jatuh hati padanya. Ditakdirkan jodohnya dengan insan lain, kita pula dengan yang lain.. Tetapi itu tidak bermakna ukhwah antara kita dan dia terputus.. Kita dan dia sama-sama mencari redha Allah.. Kita dan dia masih boleh sama-sama bekerjasama untuk mencari redha Allah.. Perbezaannya, dia halal untuk isterinya sedangkan untuk kita, dia tetap lelaki ajnabi seperti yang awalnya.” emak berhenti seketika..


Bukan luar biasa

Tentu kering tekak emak menerangkan kepada saya persoalan hati ini. “Kakak.. jadi di sini mak nak kakak faham, jatuh cinta bukan perkara luar biasa.Dan berkahwin pun bukan suatu jaminan untuk tak jatuh cinta pada lelaki lain.. Kerana itulah ramai isteri yang curang, suami yang curang.. Ada orang tukar pasangan macam tukar baju. Apa yang penting ialah kita kena perjelaskan pada diri kita supaya setiap kali kita jatuh cinta, jatuh cinta itu kerana kita jatuh cinta kepada Pencipta dia. Kita bagi tau pada diri kita berulang kali yang kita mencintai Allah, kerana itu kita mencintai si dia. Letakkan Allah sebagai sempadan hati kita, segala perkara yang kita cintai dan sayangi termasuk mak abah adalah kerana mencintai Allah.. Dan apabila kita membenci seseorang atau sesuatu, beri tahu pada diri sendiri berulangkali yang kita benci sekian-sekian hal kerana Allah semata-mata.. ”

“Kakak.. Hati kita ni walaupun dalam dada kita sendiri, ia tetap bukan milik kita. Kita tak mampu untuk mengawalnya.. Hanya Allah yang boleh memegangnya.. Sebab tu kita kena dekatkan diri dengan Allah.. Sebab kita nak dia pegang kukuh-kukuh hati kita. Bila dia pelihara dan masuk dalam hati kita, itulah nikmat lazatnnya bercinta. Masa tu biarpun satu dunia menyakiti kita, kita tak rasa sakit sebab kita asyik dengan nikmat bercinta dengan Allah..Bercinta dengan Allah sangat berbeza dari bercinta dengan manusia. Kerana tentulah pegalaman bercinta dengan lelaki kaya,rupawan, sempurna dan bijaksana tak sama rasanya bercinta dengan lelaki miskin, hodoh,cacat dan dungu.. Betapa nikmatnya cinta Allah, hanya mereka yang pernah merasai sahaja yang mampu mengerti. ”


Redha

“Kakak.. Walau siapapun jodoh yang Allah hantarkan untuk kakak, terimalah dengan hati yang redha.. Tak mustahil dia adalah orang yang kita benci. Kalau yang kakak sayang, tak jadi hal lah.. Tapi kalau dapat yang kakak tak nak, lantaran kelemahan yang ada pada dia, ingatlah bahawa dalam diri setiap insan telah Allah ciptakan dengan kelebihan masing-masing. Dan mungkin kakak ada kekuatan yang dapat mengubah si lelaki tadi supaya hidup dia bermakna dan mungkin kakak sahaja yang mampu mencungkil kelebihan yang ada pada dia.. Mungkin juga si lelaki ini ada sesuatu kelebihan yang kakak sangat-sangat perlukan yang satu dunia tak mampu bagi pada kakak.. Alangkah bertuahnya kakak kalau kakak mengerti setiap pemberian Allah dan belajar untuk bersyukur.. ” Sekali lagi berjuraian air mata saya turun. Terasa lemah lutut hendak berdiri.


Emak menarik tubuh saya dan memeluk erat. Pelukan emak sangat-sangat kuat. “Emak dah didik anak emak dari belum lahir untuk mencintai Allah.. 

Sekarang emak serahkan anak emak yang mak sayang sangat ni pada Allah untuk Dia pelihara..” 

Emak mengakhiri kata-katanya dengan suara sebak dan air mata yang mengalir ke bahu saya.

Friday, October 15, 2010

~ izrail sibuk di gaza ~






“Adik mahu jadi Izrail!” Begitu kata adik usai aku bacakan biografi Izrail alahissalam, malaikat maut yang wajib diimani oleh aku, adik dan sesiapa sahaja yang mengaku beragama Islam. Jangankan adik, sesiapa sahaja di bumi Gaza yang berdarah ini mahu menjadi Izrail agar bisa kami ambil nyawa tentera Zionis yang saban hari berusaha memastikan hidup kami kaya dengan derita. Dari Rafah sampai ke Bait Hanun, kamu tidak akan berjumpa satu meter persegi tanah yang sunyi daripada kelongsong peluru tentera Zionis. Kalau kamu berlari dari pesisir Mediteranean di Elei Sinai ke Erez kemudian terus ke Kem Khan Younis tempat aku dan adik berlindung sekarang ini, kamu tak akan temui satu inci pun tanah yang merdeka daripada darah penduduk Palestin.

Dua tahun yang sudah, aku, ibu, ayah dan adik tinggal di Rafah. Waktu itu umurku baru mencecah 17 tahun. Sweet seventeenth. Tidak, tidak... Tahun yang pergi dan tahun yang singgah tak pernah lekang dengan derita. Kata ibu, aku anak gadis yang cukup cantik. Kerana kecantikan itu, ibu melarang aku keluar sendirian. Berjaga-jaga kata ibu. Kata ibu lagi, kamu tidak tahu bila dan di mana kamu akan terserempak dengan haiwan. Lagi kata ibu, kalau kamu keluar, kamu belum tentu akan pulang. Oh ya... waktu itu aku agak rapat dengan Rachel Corrie. Ya Rachel. Pernah kamu terbaca mel elektronik Rachel dari Gaza? Tentang betapa derita kami anak-anak Palestin hidup di celahan puing bangunan yang runtuh dibedil rejim Zionis. Kadang-kadang aku tertawa dengan gelagat Rachel dengan lidah Inggerisnya sewaktu Rachel cuba menuturkan perkataan Arab. Rachel, gadis Inggeris yang berhati waja. Kadang-kadang aku rasakan dia itu lebih memahami kami berbanding saudara-saudara seagama dengan kami.

“Kaif Bush? Kaif Sharon?” tanya anak-anak kecil termasuk adik kepada Rachel. “Bagaimana Bush? Bagaimana Sharon?” Rachel kulihat menggaru kepalanya.“Bush majnoon, Sharon majnoon.” Pecah ketawa kami waktu Rachel mengatakan Bush dan Sharon gila dengan lidah Inggerisnya. Ya, barang kali Rachel benar. Bush gila, Sharon gila. Sewaktu Sharon diserang angin ahmar, kami jangkakan penggantinya mungkin akan punya dasar yang lebih lembut daripada Sharon. Ya, aku silap. Kalau Rachel masih hidup, barang kali anak-anak kecil akan bertanya, “Kaif Bush? Kaif Sharon? Kaif Olmert?” Mungkin akan segera disambut Rachel, “Bush majnoon, Sharon majnoon, Olmert majnoon.” Dan akan segera pula kami sambut dengan derai ketawa yang mungkin dihantar angin Mediteranean sampai ke Tel Aviv. Suatu ketika Rachel diserang selsema. Makcik Aisyah menjaga Rachel seolah-olah anak sendiri. Ya, Rachel sangat baik. Kadang-kadang aku rasakan dia lebih mulia daripada aku sendiri. Masakan tidak, dari Amerika dia ke sini, ke Rafah yang langitnya tidak pernah sunyi daripada peluru dan roket buatan negaranya sendiri. “Saya aktivis keamanan,” kata Rachel sewaktu mengunjungi rumahku yang hanya beberapa blok jauh dari kediamannya. Oh ya, Makcik Aisyah dan Rachel. Sering makcik tanyakan pada Rachel tentang ibunya, mengingatkan Rachel supaya menghubungi mereka, sampai suatu ketika Makcik Aisyah memeluk Rachel bila Rachel maklumkan bahawa ibunya berterima kasih kerana sudi menjaganya persis anak sendiri. Ya, Rachel... Aktivis keamanan yang mengorbankan segala bentuk kesenangan untuk bersama kami di Rafah. Beberapa bulan selepas ibu dan ayah membawa kami pindah ke Khan Younis, kami menerima berita Rachel mati dibunuh Zionis. Di saat-saat akhir hidupnya, Rachel dengan berani mendepangkan tangan di hadapan bulldozer yang sedang mara untuk merobohkan blok penempatan penduduk Arab Palestin. “Rachel jangan! Rachel jangan! Rachel jangan!” Jerit Makcik Aisyah. “Rachel jangan! Rachel jangan! Rachel jangan!” Jerit Nidal, jiran aku yang telah fasih berbahasa Inggeris dek didikan Rachel. Akhirnya mereka terdiam, Makcik Aisyah menangis. Nidal menangis. Tubuh Rachel pecah digilis bulldozer dan blok bangunan tetap hancur. Begitu yang diceritakan kepadaku oleh beberapa teman yang berpindah ke Khan Younis selepas peristiwa tersebut. Rachel, gadis manis, aktivis keamanan dan teman baru yang sanggup mati kerana kami.


Adik: Kakak! Kakak! Saya mahu jadi Izrail!

Adik mematikan lamunanku lalu menghalau kenanganku bersama Rachel Corrie. Seyum aku pada adik. Kamu boleh lihat kecederaan fizikal, emosi dan mental pada setiap batang tubuh anak-anak kecil di bumi berdarah Gaza. Zionis punya seribu satu cara untuk membuatkan kami menderita. Saban hari kamu akan mendengar berita tentang kematian. Barang kali dunia punya telinga yang pekak dan mata yang buta. Bukan, bukan. Aku patut kata dunia hanya pura-pura buta dan pekak. Selepas penangkapan Koperal Gilat Shalit, dunia bising dan nama Shalit disebut di merata dunia. Selama ini, berapa ribu rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak yang diculik tapi langsung tidak dipedulikan dunia? Malah nama mereka langsung tidak disebut. Mereka pengganas! Sejak bila mempertahankan tanah milik sendiri dikatakan suatu tindakan keganasan? Ratusan tahun tanah Palestin dikongsi bersama perlbagai kepercayaan. Kamu boleh lihat gambar-gambar jemaah haji Kristian yang berbaris dengan ranting zaitun di tangan aman berarak sebelum Zionis menjarah bumi Palestin. Barang kali, kamu akan lebih percaya dengan melihat kesungguhan Yahudi Ortodoks yang turut sama membantah penubuhan Israel bersama kami penduduk Palestin. Zionisme, barah kemanusiaan. Zionisme lahir lewat pemikiran Herzl dan Weizmann dan bukannya Taurat. Kalau kamu rajin meneliti sejarah, sewaktu pengisytiharaan Israel, bukan sedikit yang membantah malah George Marshall, Setiausaha Amerika tegas memberi amaran kepada Presiden Truman. Kata Marshall, “kalau kamu mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara, dan saya punya peluang untuk mengundi dalam pilihan raya, saya akan menggundi keluar kamu!” Ah! Sejarah begitu, siapa yang mahu peduli?

Adik: Kakak! Kakak! Adik mahu jadi Izrail.
Afya: Jangan! Izrail sibuk di Gaza.
Adik: Kenapa?
Afya: Sibuklah, banyak kerja. Ramai yang meninggal setiap hari.
Adik: Nak juga, nak juga! Adik nak jadi Izrail juga.

Entah bila Afya masuk ke khemah kami. Sepupuku ini memang rajin mengusik adik. Penderitaan sinonim dengan adik. Penderitaan sinonim dengan Afya. Penderitaan sinonim dengan aku. Penderitaan sinonim dengan seluruh penduduk Gaza. Jangankan adik, malah Afya, aku dan seluruh penduduk Gaza mahu jadi Izrail supaya lekas kami bebaskan tanah berdarah ini daripada Zionis. Zionis punya seribu satu cara untuk menjadikan kami derita. Pernah suatu pagi, aku dan Afya sudah agak lewat untuk ke sekolah. Semalam suntuk kami tidak dapat melelapkan mata setelah Zionis mengumumkan operasi mencari pejuang Palestin dari pintu ke pintu di kawasan penempatan kami. Berlari. Afya di sebelahku. Berlari. Terhenti. Di hadapan kami parit sedalam empat meter merentangi jalan raya. Di bahu kiri dan kanan jalan kawat berduri menghalang yang tidak memungkinkan kami untuk lulus lepas ke sekolah. Lagi. Kamu tidak dapat bayangkan betapa mewahnya pandangan anak-anak kecil dengan ketakutan sewaktu deruman jet melintasi bumbung rumah mereka. Siapa tahu, itu mungkin giliran mereka untuk menjadi cebisan daging. Lagi. Lori-lori sampah disekat daripada mengutip sampah di kawasan kediaman kami. Natijahnya kawasan persekitaran kotor, menyebabkan kami lebih terdedah kepada penyakit. Lagi, oh tembok aparteid... Mungkin kamu sudah biasa dengar betapa perjalanan yang suatu ketika dulu mengambil masa yang singkat menjadi berganda jauh. Tembok itu juga menyebabkan sanak-saudara yang dahulu tinggal bersebelahan terpisah seolah-olah berada di dua buah negara yang berlainan. Lagi? Pernah Afya ceritakan kepada kami, jirannya sampai terpaksa minum dan masak menggunakan air akuarium kerana bimbang ditembak jika keluar mengambil air di telaga umum. Lagi, lagi dan lagi. Episod kekejaman Zionis ini masih berterusan dan belum menemui noktah.

Adik: Kakak! Kakak! Adik mahu jadi Izrail.

Siapa pun mahu jadi Izrail di bumi berdarah Palestin. Setiap hari kami hampir pasti bahawa Izrail berlegar di sekitar kami, cuma yang tidak kami pasti ialah giliran kami berhadapan dengannya yang hanya menjadi rahsia Tuhan. Entah, aku pun tak pasti. Pertolongan hanya sekali-sekala menjengah kami di Palestin. Entah, barang kali kami hanya menunggu turunnya Isa alahissalam. Entah, barang kali kami hanya menanti turunnya Imam Mahdi. Kami terlampau sangat memikirkan tentang kematian. Tentang Izrail! Tidak banyak yang dapat kami lakukan. Kebelakangan ini sedikit sedih... Bila HAMAS dan Fatah bertembung, dari Tel Aviv dapat kami dengar sayu tepukan gemuruh penjajah Zionis. Banyak nyawa yang terbazir lewat pertembungan itu. Mereka ini kenapa? Kita ini makin lemah bila berbalah berkenaan soal kecil. Sedar! Sedar! Sedar!

***
Anak-anak kecil berlari ke pintu masuk Kem Khan Younis. Sekejap-sekejap muncul kelibat anak kecil dari celahan khemah. Lelaki dan wanita berbondong-bondong mengerumuni pintu masuk itu. Sedikit demi sedikit sampai kawasan kecil itu penuh dengan rakyat Palestin tua muda yang menjadi pelarian di negara sendiri. Di hadapan kami, dua orang ibu tua meraung-raung sambil mendakap tubuh kecil yang sudah hilang nyawa. Suasana menjadi kacau. Adik merentap-rentap tanganku. “Kakak, adik mahu jadi Izrail!” Adik memandang tepat ke mataku. “Kakak, kakak! Adik mahu jadi Izrail!”



~ ukhrawi vs duniawi ~


Alhamdulillah selesai berzohor di masjid yang berdekatan  teratakku.
Jaraknya mengimbau kembali kenanganku di uia.sama jaraknya,cuma kini aku jalannya dikelilingi orang arab yg agak tinggi dariku.

Hendak aku coretkan dan beritahu dunia yang aku adalah manusia yang dilayarkan dalam dua dunia.
bukan seperti sahabat-sahabat yang bertuah,dari awalnya berlayar dalam kapal keimanan.

Kini,aku menjerit kerana tiada yang ingin memegang tanganku untuk ditempa menjadi seperti sahabat2 sekalian.
cuma di sini,seorang abang bagiku..
yang selalu berkongsi masanya untuk mengajar aku memahami bahasa Quran.dia memahami keinginanku di sini.
dialah insan yang sanggup berjalan ke asramaku untuk mengajar walaupun dia tahu asramaku ini dikelilingi oleh berpuluh-puluh orang bakal ustaz.
Mungkin inilah ajaran Allah yang bermakna dalam kehidupan.
Walaupun tidak berpendidikan agama seperti sahabat2 yang lain.azamku untuk memahami agama takkan pernah padam,insyaAllah.

dari kecil aku belajar berusaha untuk memahami agama yang semakin diangkat dari umat.
walaupun tidak berlatarkan agama,aku sentiasa cuba untuk hidup seperti orang2 yang beragama.hidup dalam sunnah.hidup cara nabi,berpakaian seperti nabi,akhlak seperti nabi.
Aku tidak dapat bermake upkan diri dengan agama di sekolah dulu,tempat budak-budak mencorak diri sendiri. Kini,aku berusaha untuk menconteng diriku dengan agama,untuk menebus kembali apa yang aku ingin aku cari selama ini.
Azamku untuk meletakkan agama hanya di hati,bukan hanya pada ilmu.tiada gunanya ilmu setinggi gunung,tapi hanya disimpan dalam kotak hati.ilmu wajib diamal dan dikongsi,itulah pegangan manusia ini walaupun hanya sedikit saja ilmu dalam diri.

Orang yang tidak beraliran agama,cara mereka berlainan dengan yang tidak beraliran agama.gaya percakapan,gaya berlawak dan sebagainya.
Walaupun berlawak,dikaitkan dengan agama walaupun dengan niat untuk bermain.bermain dengan hokum  contohnya,namun bukan ramai ustaz2 di sini yang suka untuk berlawak dalam percakapan.

Yang aku nak bandingkan hanyalah segelintir dengan kami yang tidak berbackgroundkan agama.di sini aku selalu disoalkan tentang sekolah lampauku.bukan aku tidak mahu kongsikan,yang aku katakan cuma sekolah biasa di tengah kota sp.

walaupun kalau ditakdirkan,asis atau mckk tu sekolahku,aku  tetap malu untuk mengaku ia sekolahku kerana aku tidak diajar memahami islam di situ.

Namun,ramai yang tetap bertanya tentang sekolah lampauku.dalam tekaan mereka,maahad menjadi antara nama bayangan yang diletakkan kepadaku.mereka menyangka kedatanganku untuk mengambil usuluddin ataupun syariah barangkali,hanya segelintir yang tahu aku ingin menjadi doktor buat iman&doktor buat manusia.
Kini,keimananku diuji dengan suasana persekitaran.aku tidak pernah diajar untuk berada dalam persekitaran seperti ini.dari sekolah aku diajar untuk membentuk suasana,bukan mengikut suasana.

Aku tidak tahu macam mana mereka bergaul di sekolah.
perkataan ana enta selalu gagal aku sebut dalam percakapan,lebih senang dengan aku dan hang.
Macam mana aku nak fahamkan bahawa aku tidak pernah ditempa seperti sahabat2 sekalian.dari sekolah aku diajar untuk bersikap terbuka,tapi mementingkan adab dalam setiap perbuatan.

kerana bagiku berjaya tanpa adab adalah sia2.adab menjadi hiasan diri sejak aku merasakan kejahilan diri dalam dunia agama.

bagi aku,walaupun aku tidak dapat berdakwah dengan berkata,aku mesti  berdakwah dengan akhlak.
Jahilnya dalam memahami perkataan arab.ya Allah,aku mesti belajar untuk memhami Quran.azamku untuk menghafal 5juzuk setahun.insyaAllah aku hendak pulang ke Malaysia sebagai seorang hafiz. Kalau sahabat2 dq ku Cuma menghafal setahun,takkan aku tidak mampu menghafalnya dalam 6tahun.
Permulaan adalah yang paling susah sebenarnya.permulaan untuk menjadi baik.ramai yang ingin berubah,tapi tiada kekuatan untuk melonjak dari dalam.

Inginku kongsikan secebis kisah seorang sahabat yang aku temui di sini.dalam diam,rupanya dia adalah saudara baru.terkejut aku pada mulanya,bersih wajahnya.dari agama budhha kembali berimamkan islam.
Seluruh keluarganya kini beragama islam,kecuali kakaknya.hanya kerana pejabat agama melarang menggunakan nama yang panjang,menyebabkan kakaknya tidak berada bersama islam.


Benarlah,sesungguhnya hidayah itu milik Allah.

Kini aku perlu menjadi lebih kuat.lebih kuat untuk memahami agama.6tahun aku di sini insyaAllah tidak akan sia-sia.akanku isikan masa-masa emas ini dengan tarbiah yang berkekalan,insyaAllah.

Hanya demi menggapai redha Allah.

Pimpinlah diri ini.aku juga inginkan syurga.sahabat2ku yang tidak berbackground agama pun inginkan syurga.
Pimpinlah kami kembali ketika kami hanyut.moga syahadah menjadi kalamku yang terakhir nanti,insyaAllah,amiin..


Berjuanglah untuk umat.
Tanda orang2 yang bersyukur sebenarnya adalah macam mana nikmat yang dia peroleh,dia kongsikan untuk insan-insan lainturut merasainya.

Tinta dari kesejukan bumi kinanah
^__^